Hiduplah sesuka Hatimu, Sesungguhnya kamu pasti Mati.. Cintai siapa saja yang kamu senangi, Sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya.. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, Sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya..

17 August, 2011

KISAH NABI SULAIMAN DAN PEMUDA YANG BERBAKTI KEPADA IBU BAPANYA




Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal. Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.

Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni oraang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.

Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.

Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.



Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.

Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan saylah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.

Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.

Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu susana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.



Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.

Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya. Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.

Fikirlah sejenak, apakah sumbangan kita terhadap kedua ibu bapa kita? Apakah sudah cukup kasih sayang dan perhatian kita untuk mereka? Cukupkah bakti yang kita lakukan semasa usia tua mereka? Adakah kita ini tergolong dari golongan yang berbakti kepada ibu bapa? Bersama kita renungkan dan kita amalkan, insyaAllah. Ingatlah, doa ibu bapa terhadap anaknya adalah mujarab dan tiada hijab antaranya dengan Allah azza wajalla.



Sumber: Himpunan kisah-kisah teladan

06 August, 2011

Korek Hidung dan Telinga Membatalkan Puasa Kot.. Ye Ke???

Tajuk macam simple sangat.. Apalah itu pun nak cerita jugak ke?? Takkan la tak tahu?? Mungkin ada persoalan yg bermain-main di fikiran masa baca tajuk ni.. memang la bunyi cam simple, tapi sebenarnya ramai orang tak tahu hukumnya yg sebenar..

Masa sekolah dulu, selalu je dengar orang2 cakap korek hidung dan telinga membatalkan puasa.. Jenuh la duk tahan gatal hidung dan telinga takut batal puasa.. Rupa2nya hukum yang sebenar adalah sebaliknya.. Antara hukum-hukum yang berkaitan dgn puasa adalah..

PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

1) Masih Dalam Keadaan Junub Ketika Masuknya Subuh:

Dari ‘aisyah & Ummu Salamah:
“Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1825, Muslim, no. 1109)

2) Bersiwak/Gosok Gigi:

Nabi s.a.w. bersabda:
“Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat.” (Hadis Riwayat Bukhari, 887) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Hadis Riwayat Bukhari, 2/682)

Hadis ini bersifat umum. Termasuklah ketika berpuasa. Oleh itu, diperbolehkan bersiwak/memberus gigi bagi sesiapa yang ingin solat atau berwudhu’ samaada berpuasa atau tidak. Pendapat inilah yang dipilih oleh imam Bukhari di dalam sahihnya (2/682, dan Fathul Bari, 4/158) serta Ibnu Khuzaimah di dalam Shahihnya (3/247), al-Baghawi di dalam Syarh Sunnah (3/298), dan jumhur ahli ilmu yang lain.

3) Memasukkan Air Ke Dalam Hidung & Berkumur-Kumur

...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Ini membawa maksud bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan - hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotoran. Berdasarkan hukum ini, mengorek hidung dan telingan yg tidak melampau dan berlebih-lebih tidak membatalkan puasa.

4) Bermesra Dan Mencium Isteri:

Dari ‘Aisyah:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang yang paling mampu menahan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1927, Muslim, no. 1106)

Ada yang berpendapat, perbuatan ini dimakruhkan bagi pemuda berdasarkan hadis ini:

Dari abdullah bin ‘Amr:
“Kami pernah berada di sisi Nabi s.a.w., datanglah seorang pemuda, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Bolehkah aku mencium dalam keadaan berpuasa? Nabi menjawab: Tidak. Kemudian, datanglah seorang tua, lalu berkata: Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa? Nabi menjawab: Ya. Berkata (Abdullah): Kami melihat sesama sendiri (kehairanan), Maka Nabi bersabda: Sesungguhnya orang tua itu lebih mampu menahan dirinya.” (Lihat silsilah as-shahihah: 1606)

5) Merasa Makanan:

Dari Ibnu Abbas:
“Tidak mengapa merasa cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke krongkongan dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dengan tanpa sanad, dan Ibnu Hajar menyambungnya di dalam Fathul Bari, 3/154)

6) Mengeluarkan Darah Atau Suntikan Yang Tidak Mengandungi Makanan:

Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang tidak membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin, seperti yang telah ditetapkan Majma’ Fiqhul Islami. (Rujuk: Majallah Majma’, 2/464)

7) Berbekam:

Daripada Ibnu abbas:
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berbekam dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1939)

8) Memakai Celak, Menitiskan Ubat Mata Ke Bahagian Mata:

1 - Imam Bukhari mengatakan: “Anas bin Malik, Hasan al-Basri, dan Ibrahim an-Nakha’i memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa” (Fathul Bari, 4/153)

2 - Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin (Seperti Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, al-Uthaimeen, Dr. Wahbah Zuhaily, dan lain-lain...), bahawa menitiskan air atau ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa (Rujuk: Majallah Majma’, 2/378, 381, 385, 392) Juga ada perbahasannya di website berikut: http://www.saaid.net

Bagaimana pula ubat mata yg dititiskan mengenai/sampai ke dalam kerongkongan? Seandainya, benar ia memberi kesan terhadap kerongkong, maka adalah lebih baik tidak dilakukan.

9) Mencurahkan Air Ke Atas Kepala/Mandi:

Dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku:
“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda bepuasa, kerana dahaga atau kepanasan. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2365, Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Sunan Abu Daud)

Manakala di dalam Shahih beliau mendatangkan satu tajuk “Bab Mandinya Orang Yang Bepuasa”, dan beliau mendatangkan hadis Ibnu Umar:
“Ibnu Umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudia beliau memakainya dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, lihat Fathul Bari: 3/154)

PERKARA2 YG LAIN YG MEMBATALKAN PUASA ADALAH:


1 - Makan dan minu dengan sengaja/dalam keadaan sedar.
2 – Muntah dengan sengaja.
3 – Haid dan nifas
4 – Jima’.
5 – Suntikan yang berbentuk makanan.
6 – Mengeluarkan air mani dengan sengaja.


PERKARA2 YANG DIBOLEHKAN MENERUSKAN PUASA:


1 – Masih dalam keadaan junub ketika waktu subuh.
2 – Bersiwak/menggosok gigi.
3 – Berkumur-kumur.
4 – Bermesra dan mencium isteri.
5 – Mengeluarkan darah atau suntikan yg bukan berupa makanan.
6 – Berbekam.
7 – Merasa makanan/masakan (dengan syarat tidak melepasi kerongkong).
8 – Memakai celak, menitiskan air atau ubat ke dalam/bahagian mata.
9 – Mencurahkan air ke atas kepala/mandi.

PERKARA-PERKARA YG MENGURANGKAN PAHALA PUASA:

1 - Berkata-kata akan hal yang sia-sia
2 – Berkata dengan mengatakan sesuatu yang dusta.



Petikan dari http://an-nawawi.blogspot.com

04 August, 2011

RESIPI KEK LUMUT

Salam..

Minggu yg agak sibuk dgn keje.. errmmm, saya nak citer la sikit pasal tajuk kat atas tu.. cer citer cer citer.. (macam nak buat novel je.. kihkihkih)

Gini citernya, hari ahad lps hari yg agak membosankan bagi saya, asyik duk lepak depan tv je.. kerja rumah semua dah settle.. dah boring sangat.. so, sambil tengok tv sambil duk belek-belek buku yg ada..

Tetiba aje teringin nak buat kek bila ternampak buku resipi atas meja depan tv.. dah lama sgt tak buat kek semenjak kerja dekat lumut..

Kali ni saya mencuba resipi kek Sarawak dari dayangjack.. makasih kongsi ilmu ni.. dah lama nak belajar buat kek dari sarawak yang sendirian berhad (sendiri buat lerr)… kek yang beli kat kedai rasa manis sangat., jadi saya yang jenis tak suka manis ubahsuai la sikit resipi tu… terpaksa derhaka kat resipi asal.. (jangan mare yerr..)



Cubaan menjadi jgk akhirnya.. memang kek ni gebu, sedap dan tak manis sangat.. suke suke suke.. (^_^)



Inilah hasilnya, kek lumut sesuai dgn nama tempat saya tinggal skrg.. hehehe..
Kat sini saya salinan semula resipi asal dan ubahsuainya dalam tulisan italic tu…

KEK LUMUT


Bahan-bahan untuk 1/2 adunan : (Loyang kecil 7" x 7")
• 1 cawan tepung gandum (diayak)
• 1 cawan horlicks
• 3/4 cawan gula halus (1/2 cawan gula halus)
• 250 g mentega
• 4 biji telur A
• pewarna hijau secukupnya (campur dgn sedikit pes pandan)
• 4 sudu besar seri kaya
• 1/4 cawan susu pekat manis (2 sudu bsr)
• 1 sudu kecil esen vanilla

Cara-cara :
1. Sediakan pengukus dan didihkan air.
2. Griskan loyang dgn mentega dan taburkan sedikit tepung. Baki tepung dikeluarkan.
3. Pukul mentega bersama gula halus hingga kembang dan berkrim. Gunakan kelajuan maksimum.
4. Masukkan telur sebiji dan pukul hingga sebati (guna kelajuan sederhana). Kemudian, masukkan lagi sebiji telur dan pukul lagi. Ulangi proses ini sehingga habis.
5. Masukkan susu dan serikaya. Ratakan dengan spatula.
6. Masukkan tepung sedikit demi sedikit diselangselikan dgn horlicks dan gaulkan sebati.
7. Masukkan pewarna hijau, pes pandan dan esen vanilla. Sebatikan.
8. Tuangkan adunan ke dalam loyang yg telah digriskan dan tutupkan dgn aluminium foil.
9. Cuma masa mengukus ialah 2 jam 30 minit.

Selamat Mencuba...

16 July, 2011

Renungilah...

Photobucket

"Ya Allah, sediakan bagiku sebahagian daripada keluasan rahmatMu. Berilah aku petunjuk dgn ajaranMu. Bimbinglah aku menuju keredhaan Mu yg penuh dgn kecintaan Mu."

Photobucket

"Ya Allah, janganlah aku dihina kerana dosaku dan janganlah menyeksaku dengan balasan Mu. Jauhkanlah aku dari sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu."

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket
Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

Photobucket

16 June, 2011

CINTA DAN KASIH SAYANG RASULULLAH SAW

SYUKUR kepada Allah kerana dengan limpahan anugerah dan kasih sayang-Nya, kita dapat menikmati nikmat Islam, mengecapi manisnya iman dan menghayati indahnya ihsan. Syukur kepada Allah SWT kerana mengutuskan kepada kita seorang Rasul pembawa risalah kerahmatan sehingga kita dapat mengecapi nikmat-nikmat ini hingga ke hari ini.

Kemanisan dan keistimewaan nikmat dan limpahan ini tidak akan dapat kita rasai tanpa menghayati Islam melalui pintu dan manhaj ‘Hubb‘ iaitu cinta dan kasih-sayang. Sebagaimana cinta dan kasih saying Rasulullah SAW yang perlu dijadikan bekal dan azimat bagi umat dalam mengharungi kehidupan ini.

Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya:
“Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).

Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar umatnya berjaya di sini dan di alam abadi. Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keperihatinan baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128.

Malah Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi. Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
“Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat).” (Ibrahim: 36)

Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.

"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:
“Ya Allah! Umatku! Umatku!”
Lalu Allah berfirman kepada Jibril as;
“Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.”
Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as: “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau redha pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau”.

Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keperihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Sifat kasih yang mendalam menyebabkan Baginda sentiasa mengutamakan umatnya, tidak mahu umatnya menanggung kesusahan dan segala beban umatnya rela ditanggung sendiri oleh Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda:
“Aku lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri. Sesiapa dari kalangan kaum Mukminin yang meninggal dunia meninggalkan hutang maka ke ataskulah tanggungjawab melangsaikan hutangnya. Sesiapa dari kalangan mereka yang meninggalkan harta, maka ia adalah bagi warisnya.” (riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Nasai dan Ibnu Majah).

Nabi SAW juga mengambil berat tentang keadaan umatnya dan sentiasa mendoakan mereka. Diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Aisyah berkata:
Tatkala saya melihat Nabi SAW berada dalam keadaan baik, saya berkata;
“Wahai Rasulullah! Doakanlah untuk saya.”
Rasulullah SAW pun mendoakan, “Ya Allah! Ampunilah dosa Aisyah yang terdahulu dan yang terkemudian, yang tersembunyi dan yang terang.”

Mendengarnya, Aisyah ketawa gembira sehingga kepalanya jatuh ke ribanya kerana terlalu gembira. Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Adakah doa saya menggembirakan kamu?” Aisyah menjawab, “Kenapa tidak, saya begitu gembira dengan doamu itu?”
Rasulullah SAW bersabda, “Demi Allah! Inilah doa yang saya panjatkan untuk umat saya dalam setiap solat.”

Rasulullah SAW juga menyimpan doa mustajabnya untuk dijadikan sebagai syafaat bagi umatnya pada hari yang paling penting dan sukar iaitu Hari Kiamat. Abu Hurairah ra meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat”. (riwayat Muslim dalam kitab al Iman)

Rasulullah adalah utusan Allah SWT bagi menyampaikan mesej kasih sayang, dan Baginda telah pun melaksanakan amanah tersebut dengan sempurna. Kasih sayang itu telah pun diterjemahkan dalam segala perkataan dan perbuatan Baginda. Rasulullah SAW menghulurkan kasih sayangnya, tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang, hatta makhluk-makhluk yang diciptakan Allah SWT lain mengecapi nikmat cinta Baginda. Baginda SAW sentiasa menyuruh bersifat belas dan kasih dan membenci kekerasan dan kekasaran.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa orang-orang Yahudi menemui Nabi SAW, lalu mengucapkan: “Kecelakaan ke atas kamu.”
Rasululah SAW bersabda: “Dan ke atasmu juga.”
Lalu Aisyah mencelah: “Semoga kecelakaan ditimpakan ke atas kalian juga, laknat Allah dan juga kemurkaan-Nya ke atas kalian.”
Rasulullah bersabda: “Perlahan-lahanlah, wahai Aisyah! Berlemah-lembutlah kamu dan janganlah kamu berkasar.”
Aisyah berkata: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang mereka ucapkan?”
Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tidak mendengar apa yang aku katakan? Aku telah pun membalas ucapan mereka. Maka doaku itu dimustajabkan dan doa mereka tidak diperkenankan.”

Maka tepatlah Allah telah menggelarkan Baginda sebagai rahmat kepada seluruh alam dan sebagai yang amat pengasih kepada umatnya. Allah SWT telah berkenan mengurniakan kepada Baginda dua daripada nama-nama-Nya yang agung iaitu Ra’uf (Orang yang bersifat belas) dan Rahim (Orang Yang Penyayang).

Di dunia, Nabi SAW sentiasa berusaha memberi keringanan kepada umatnya. Maka Baginda SAW bersabda: “Sekiranya tidak berat ke atas umatku, nescaya aku memerintahkan mereka supaya bersugi pada setiap kali hendak melakukan solat.” Manakala di akhirat, Rasulullah SAW bersabda: “Umatku! Umatku!” Ketika itu, manusia sibuk mendapatkan pertolongan para Nabi sedangkan mereka pula sibuk memikirkan nasib diri mereka. Tetapi Nabi Muhammad SAW sibuk memikirkan umatnya bukan dirinya.

Justeru, wajiblah bagi kita menyaksikan kemuliaan Baginda dalam setiap nikmat yang diterima oleh seorang Muslim kerana Baginda SAW adalah pembuka jalan-jalan kebaikan untuk kita dan menzahirkan bagi kita jalan-jalan yang mulia. Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani.

Meneladani cinta Baginda SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Baginda SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunah Baginda. Bagi mereka melaksanakan perintah Baginda SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.

Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Baginda bersabda yang maksudnya; “Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.”

Mendengar sabdanya ini mungkin kita umatnya yang datang kemudian agak sedih dan terkilan kerana tidak turut terangkum dalam sabdaannya itu. Tetapi alangkahnya terhibur hati kita apabila mendengar Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, “Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”

Begitulah keunggulan cinta dan kasih saying Rasulullah SAW kepada umatnya yang sebenarnya. Kecintaan ini tidak akan hilang dan luput, malah berterusan sehingga hari pembalasan di padang Mahsyar.

02 November, 2010

Cabaran ulama masa kini

SUATU lagi sejarah tercatat pada tanggal 21 Syawal 1431 Hijri bersamaan 30 September 2010 Masihi ketika umat Islam di seluruh negara malah dunia masih rancak menyambut sambutan hari raya,

saya menerima berita kematian seorang ulama tersohor di negeri Perak yang juga merupakan sahabat karib saya iaitu Tuan Guru Datuk Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh. Beliau merupakan pengasas Pondok Madrasah Ad-Diniah Al Latifiah di Pengkalan Hulu dan juga salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Pemergiannya amat dirasai sehingga kini terutama bagi para pencinta ilmu dan gerakan Islam. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat istiqamah menyampaikan ilmu, kuat beribadat, tajam hafalan dan begitu komited dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Betapa saya melihat sendiri lautan manusia datang menziarah, tanpa disuruh dan dipaksa. Jalan kecil ke pondok pada hari itu terpaksa ditutup kerana lapisan manusia bersesak-sesak mahu menziarahi al-marhum jenazah beliau.

Saya yakin pemergian tokoh ulama seperti Tuan Guru Pak Teh sememangnya meninggalkan ruang kosong dalam masyarakat yang memerlukan ulama dalam memandu kehidupan mereka. Suatu soalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah mengapa kematian para ulama disebut sebagai satu ujian kepada kita? Bagi menjawab persoalan ini, saya mengajak para pembaca merenungi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari:

“Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”.

Imam Ibnu Hajar menyatakan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa dari Abu Umamah r.a, ketika mana Baginda SAW menunaikan Haji Wida’ Baginda SAW bersabda : “Ambillah ilmu sebelum ia dicabut atau diangkat.’ Maka para sahabat bertanya, “Bagaimana ilmu itu diangkat?' Jawab Baginda SAW : ‘Ketahuilah, bahawa perginya ilmu itu dengan perginya orang yang menanggungnya ( ulama ).”

Pemergian seorang ulama tidak sama seperti hilangnya seorang doktor, arkitek, peguam mahupun seorang pemerintah. Bukan saya bertujuan mahu memperkecilkan peranan orang lain, namun setiap manusia punya ‘gelanggangnya’ sendiri. Masyarakat yang kehilangan ulama seumpama masyarakat yang hilang arah pedoman hidup. Tiadanya ulama menandakan titik permulaan kehancuran dalam masyarakat. Ketiadaan ulama sebenarnya adalah alamat kepada berlakunya hari kiamat.

Seorang ulama adalah pewaris tugas kenabian sebagai mursyid, murabbi, mudarris, muallim dan muaddib. Tercatat di dalam kitab Tarikh Baghdad diriwayatkan bahawa seorang yang pernah sezaman dengan Imam Syafie r.a menyatakan apabila kami ingin menangis, maka sebahagian dari kami berkata kepada sebahagian yang lainnya “Mari kita pergi bersama-sama kepada pemuda keturunan Bani Muthalib (Imam Syafie) untuk membaca al-Quran. Ketika kami mendatanginya, maka ia mulai membaca al-Quran hingga manusia luluh di hadapannya dan suara tangisan pun akan terdengar. Jika ia mendengar suara-suara tangisan, ia menghentikan bacaannya”.

Seorang ulama adalah laksana bintang di langit yang memandu manusia mencari arah. Di siang hari ulama adalah matahari yang menyinari segala hidupan dengan ilmunya. Oleh kerana itulah Allah SWT telah mengangkat darjat para ulama berbanding manusia yang lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

Banyak ilmuwan bukan bererti banyak ulama

Ketika Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijriah, lahir juga pada tahun itu Imam Syafie r.a. Maka orang menyatakan telah pergi seorang ulama, tetapi telah datang seorang ulama. Bila Allah SWT mematikan para ulama maka ia ujian bagi umat manusia dalam mencari dan melahirkan generasi ulama baru dalam masyarakat. Kegagalan kita dalam melahirkan dan mengangkat mereka yang selayaknya digelar mahupun dinamakan sebagai ulama akan melebarluaskan ruang kesesatan terhadap umat ini.

Hari ini, ramai dari kalangan anak-anak kita telah dihantar ke universiti di dalam dan luar negara bagi mendalami ilmu-ilmu agama. Secara zahirnya, kita sudah melahirkan para ilmuwan Islam, namun saya berpandangan ia masih belum mencapai tahap sebagai seorang ulama yang hebat. Seorang ulama yang hebat bukan sekadar terbina ilmu dengan timbunan kitab-kitab, tetapi juga perlu menempuh lautan pengalaman. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing dan penasihat. Mereka bijak membawa fatwa untuk diterjemahkan ke dalam dunia hakiki. Setiap katanya adalah mutiara bukannya kaca. Setiap geraknya adalah cerminan adab yang terkandung dalam kitab-kitab. Hidupnya untuk memandu umat bukan dipandu.

Maka adakah para generasi ilmuwan muda pada hari ini mampu mengisi kekosongan ini? Saya bukan pesimistik dengan kehadiran ilmuwan muda hari ini, malah saya sentiasa akan cuba membimbing dan menunjuk ajar mereka sebaik mungkin. Namun inilah cabaran kita hari ini, segulung ijazah adalah permulaan perjalanan untuk menjadi seorang ulama. Terjunlah ke dalam rumpun masyarakat bagi memahami situasi, dengan itu barulah kita mampu menjadi seorang ulama yang hebat.

Cabaran dalam berdakwah

Secara peribadi, saya telah menikmati asam garam dalam kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan dalam jangkamasa yang agak lama. Memegang amanah sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak sahaja sudah menjangkau 26 tahun dan terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan sudah melangkaui 35 tahun. Saya berserah kepada Allah SWT agar tugasan ini menjadi amal soleh sebagai bekalan saya di akhirat. Terjun dalam arena dakwah memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang amat tinggi. Banyak kenyataan yang telah saya keluarkan menjadi bahan cacian dan sendaan pelbagai pihak. Teringat saya kepada kenyataan yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa haram hukumnya menonton filem Bollywood. Begitu juga haram menganjurkan program Sure Heboh. Terdapat banyak pihak memberi ulasan yang pelbagai bagi “menghalalkan” filem dan program tersebut untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Saya sama sekali tidak pernah akur biarpun didesak oleh pelbagai pihak supaya melihat bahan tontonan dan program tersebut dari perspektif positif, kerana bagi saya pihak berwajib perlu menyajikan kepada masyarakat bahan-bahan yang boleh menambahkan kemantapan aqidah, kekuatan beribadah dan nilai tambah kepada akhlak dan adab. Apatah lagi sajian-sajian tersebut amat digemari oleh generasi pewaris agama, bangsa dan tanah air kita.

Dalam konteks ini, saya ingin menukilkan bahawa alangkah baiknya jika Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat memberi ruang kepada para mufti, para agamawan mahupun para cendekiawan Islam bersama-sama memberi idea dan buah fikiran dalam penyediaan garis panduan penyiaran rancangan-rancangan televisyen dan program-program anjuran mereka. Dalam catatan kehidupan saya sebagai mufti khususnya, saya tidak pernah dipanggil secara rasmi untuk dikongsi idea dan pandangan berkenaan hal ini. Pernah para mufti berhasrat untuk bertemu dengan menteri terbabit dan tarikh pertemuan sudah diatur, namun kunjungan kami hanya disambut oleh pegawai dari kementerian terbabit. Dalam hal ini, saya memuji kesediaan Allahyarham Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di sebuah kementerian untuk bertemu dan berbincang dengan para mufti terhadap isu-isu yang berlaku ketika itu. Sebagai seorang mufti, saya menzahirkan rasa kecewa kerana keinginan untuk bertemu dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seringkali tidak tercapai sedangkan banyak isu dan permasalahan yang boleh diketengahkan oleh para mufti. Ini satu contoh yang diperturunkan dalam ruangan ini supaya para ulama dan terutamanya para mufti tidak sewenang-wenangnya di labelkan sebagai “bisu” dan “lembab” .

Saya melihat bahawa kegagalan mengawal selia bahan-bahan penyiaran juga merupakan ejen dan penyumbang kepada kerendahan akhlak dan moral para muda mudi dewasa ini. Biarpun terdapat rancangan-rancangan berbentuk keagamaan ditayangkan, namun pada pengamatan saya ia tidak mampu menyaingi rancangan hiburan yang seolah-olah menjadi suatu kemestian untuk disiarkan setiap hari. Pada saya, inisiatif perlu diambil oleh pihak kementerian agar dasar dikaji semula supaya bahan-bahan yang akan ditayangkan dikawal dan disaring agar memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh syarak. Apakah ertinya melaungkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sekiranya bahan-bahan tontonan umum tidak menepati penanda aras yang telah ditetapkan oleh Islam?

Mutakhir ini, saya dihubungi oleh pihak media berhubung dengan perancangan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan bertujuan memaju industri pelancongan negara. Saya difahamkan bahawa program ini akan lebih menyuburkan kegiatan-kegiatan maksiat yang terang-terangan boleh merosakkan akhlak anak bangsa terutamanya di bandar-bandar besar. Biarpun program ini bertujuan menggandakan pendapatan dan akan berlaku peningkatan ekonomi terhadap negara, namun saya menentang keras program ini kerana ia sama sekali tidak menjamin pulangan yang membanggakan terhadap peningkatan akhlak masyarakat. Para mufti, para pendakwah dan para ustaz membanting keringat menyedarkan masyarakat saban hari tentang bahaya maksiat dan dosa, namun dalam masa yang sama aktiviti yang berteraskan maksiat disubur biakkan. Saya mengharapkan agar pihak yang berwajib melakukan kajian semula terhadap cadangan ini dan saya berkeyakinan semua para mufti dan cendekiawan Islam akan bergerak senada dan seirama membantah cadangan ini. Menghindarkan masyarakat dari sebarang kerosakan lebih baik daripada mengubat masyarakat yang sudah rosak dan tenggelam dalam kelalaian.

nukilan oleh: Harussani Zakaria (Mufti Perak)
petikan arkib utusan malaysia pd 31.10.2010

28 October, 2010

Wasiat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani




Wahai Hamba..!

Tidurlah kamu dibawah naungan takdir,
berbantallah engkau dengan kesabaran,
bersikap redhalah engkau terhadap takdir yg sudah ditentukan buat dirimu,
beribadahlah engkau dengan selalu menanti dan mengharapkan kebahagiaan.

Apabila engkau benar-benar telah berbuat demikian,
maka Zat Yang Maha Kuasa akan mencucurkan semua anugerah-Nya
dan mengurniakan semua nikmat-Nya kepadamu,
diluar yg pernah engkau cari dan engkau dambakan.

Wahai Hamba...!

Hina dan rendahkanlah dirimu kepada Allah,
kepada kekuasaan-Nya,
kepada takdir dan perbuatan-Nya.

Seimbangkanlah antara dunia dan akhirat.
Jadikanlah kedua-duanya itu dalam wadah yg sama,
dan menyendirilah dihadapan Tuhanmu Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung,
dengan hati yg bertelanjang, tanpa dunia dan akhirat.

Janganlah engkau menghadap kepada-Nya,
kecuali engkau telah mengenepikan semua yg datang selain daripada-Nya.

Wahai Hamba...!

Bertaubatlah daripada segala dosa-dosamu
dan bersegeralah kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia lagi Maha Agung.

Jika engkau bertaubat,
hendaklah taubat itu lahir dari hatimu,
bertaubatlah engkau zahir dan batin.





02 April, 2009

Sakaratul Maut...bersediakah kita???



"Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): "Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar".”
(surah al-Anfaal: ayat 50)

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan sakratulmaut (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya.”
(surah Al- An'aam: ayat 93)


Cara Malaikat Izrail mencabut nyawa tergantung dari amal perbuatan orang yang bersangkutan, bila orang yang akan meninggal dunia itu durhaka kepada Allah, maka Malaikat Izrail mencabut nyawa secara kasar. Sebaliknya, bila terhadap orang yang soleh, cara mencabutnya dengan lemah lembut dan dengan hati-hati. Namun demikian, peristiwa terpisahnya nyawa dengan jasad tetap teramat menyakitkan.

"Sakitnya sakaratul maut itu, kira-kira tiga ratus kali sakitnya dipukul pedang".
(H.R. Ibnu Abu Dunya)

Sakitnya sakaratul maut telah diceritakan dalam sirah Nabi Idris a.s. Allah telah menyebutnya dalam al-Quran seperti berikut:

" Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka kisah) Idris (yang tersebut) dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi"
(surah Maryam, 19: 56)

Nabi Idris dilahirkan seratus tahun selepas kematian Nabi Adam A.S. Nama penuhnya, Idris bin Yarad bin Mahlail. Keturunan daripada Nabi Syits bin Adam a.s. Dia merupakan moyang kepada Nabi Nuh a.s. Baginda adalah manusia pertama yang belajar menulis. Dia sempat berjumpa dengan Nabi Adam selama 308 tahun, kerana umur Nabi Adam panjang, iaitu selama 1000 tahun.

Diketahui bahawa 30 bahagian ayat-ayat suci Allah diwahyukan kepada baginda. Baginda adalah manusia pertama yang mengajarkan ilmu politik, pembangunan kota hingga terbina 188 kota ketika itu, dan yang menemui sains astronomi dan aritmetik.

Nabi Idris a.s. mengajar dengan teguran dan nasihat yang baik seperti berikut:
1. Jangan berasa dengki dengan kekayaan orang lain.
2. Sesiapa yang mempunyai keinginan yang tidak terbatas, akanmenghalangnya daripada berpuashati dengan kekayaan yang diperolehi.
3. Seseorang mestilah ikhlas dalam pengabdian kepada Allah.
4. Berdosa jika melakukan sumpah yang salah.
5. Sabar adalah kunci kejayaan
6. Sesiapa yang mengawal nafsunya adalah seorang yang bertuah. Golongan yang berbuat baik sahaja akan hidup dalam syafaat daripada Allah semasa hari pembalasan.
7. Sesiapa yang ingin mencapai kesempurnaan dalam ilmu, sepatutnya tidak terlibat dengan perlakuan yang tidak bermoral.

Beliau adalah seorang ahli ibadah, kuat mengerjakan solat sampai puluhan raka'at dalam sehari semalam dan selalu berzikir di dalamkesibukannya sehari-hari. Catatan amal Nabi Idris a.s yang sedemikian banyak, setiap malam naik ke langit.

Hal itulah yang sangat menarik perhatian Malaikat Maut, Izrail. Malaikat Izrail sangat cinta dan merinduinya. Maka bermohonlah Malaikat Izrail kepada Allah s.w.t agar di perkenankan mengunjungi Nabi Idris a.s. di dunia. Allah Swt, mengabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka turunlah ia ke dunia dengan menjelma sebagai seorang lelaki tampan, dan bertamu ke rumah Nabi Idris a.s. dan ketika itu Nabi Idris a.s. sedang berpuasa sepanjang tahun.

"Assalamu'alaikum, ya Nabi Allah", Salam Malaikat Izrail.

"Wa'alaikum salam wa rahmatulloh". Jawab Nabi Idris a.s.

Beliau sama sekali tidak mengetahui, bahawa lelaki yang menziarahinya itu adalah Malaikat Izrail. Seperti tetamu yang lain, Nabi Idris a.s. melayani Malaikat Izrail, dan ketika tiba saat berbuka puasa, Nabi Idris a.s. mengajaknya makan bersama, namun di tolak oleh Malaikat Izrail.

Selesai berbuka puasa, seperti biasanya, Nabi Idris a.s mengkhususkan waktunya "menghadap" Allah s.w.t sampai keesokan harinya. Semua itu tidak lepas dari perhatian Malaikat Izrail. Juga ketika Nabi Idris terus-menerus berzikir dalam melakukan kesibukan sehari-harinya, dan hanya berbicara yang baik-baik saja. Selama 4 hari bersama, Nabi Idris melihat banyak keanehan daripada tetamunya itu.

Pada suatu hari yang cerah, Nabi Idris a.s mengajak jalan-jalan "tetamunya" itu ke sebuah perkebunan di mana pohon-pohonnya sedang berbuah, ranum dan menggiurkan.

"Izinkanlah saya memetik buah-buahan ini untuk kita" pinta Malaikat Izrail (untuk menguji Nabi Idris a.s).

"Subhanallah (Maha Suci Allah)," kata Nabi Idris a.s.

"Kenapa?" Malaikat Izrail pura-pura terkejut.

"Buah-buahan ini bukan milik kita", ungkap Nabi Idris a.s.

Kemudian beliau berkata: "Semalam anda menolak makanan yang halal, kini anda menginginkan makanan yang haram".

Malaikat Izrail tidak menjawab. Nabi Idris a.s perhatikan wajah tetamunya yang tidak merasa bersalah. Dalam diam-diam, beliau mula tertanya tentang tamu yang belum dikenalnya itu. Siapakah gerangannya? pikir Nabi Idris a.s.

"Siapakah engkau sebenarnya?" tanya Nabi Idris a.s.

"Aku Malaikat Izrail", jawab Malaikat Izrail.

Nabi Idris a.s. bertanya, "Apakah engkau ini yang akan mencabut nyawa setiap orang?“

Malaikat Izrail menjawab,“ Ya“.

"Selama 4 hari engkau bersamaku, apakah engkau juga mencabut nyawa orang lain?", tanya Nabi Idris a.s lagi.

"Ya, saya mencabut beberapa nyawa dan sesungguhnya jiwa makhluk itu untukku, sama seperti hidangan di depan saya atau seperti engkau menghadapi sesuap makanan“, jawab Malaikat Izrail.

"Wahai Malaikat Maut, apakah kedatanganmu untuk menziarahi ku atau mencabut nyawaku?", selidik Nabi Idris a.s serius."Aku hanya datang untuk menziarahi mu dengan izin Allah Ta’ala", senyum Malaikat Izrail penuh hormat.

Nabi Idris mengangguk, beberapa lama kemudian beliau hanya terdiam.

"Wahai Malaikat Maut, aku mempunyai keinginan kepadamu", tutur Nabi Idris a.s.

"Apa itu? katakanlah!", jawab Malaikat Izrail.

"Ku mohon engkau bersedia mencabut nyawaku sekarang. Lalu mintalah kepada Allah SWT untuk menghidupkan ku kembali, agar bertambah rasa takutku kepada-Nya dan meningkatkan amal ibadahku selepas saya merasakan sakratulmaut". Pinta Nabi Idris a.s.

"Tanpa izin Allah Ta’ala, aku tak dapat melakukannya", tolak Malaikat Izrail.

Pada saat itu, Allah SWT memerintahkan Malaikat Izrail agar memenuhipermintaan Nabi Idris a.s. Dengan izin Allah s.w.t., Malaikat Izrail segera mencabut nyawa Nabi Idris a.s. sesudah itu beliau wafat. Malaikat Izrail menangis, lalu memohon kepada Allah SWT agar menghidupkan Nabi Idris a.s. kembali. Allah mengkabulkan permohonannya. Setelah di kabulkan Allah, Nabi Idris a.s. hidup kembali.

"Bagaimanakah rasa mati itu, sahabatku?" Tanya Malaikat Izrail.

"Sesungguhnya, seperti terkupas kulit dalam keadaan hidup, rasa sakit menghadapi maut itu lebih 1000 kali ganda", jawab Nabi Idris a.s.

"Aku lakukan secara hati-hati dan lemah lembut khusus mencabut nyawamu, belum pernah aku lakukannya terhadap orang lain", kata Malaikat Izrail.

MasyaAllah, lemah-lembutnya Malaikat Maut (Izrail) itu terhadap Nabi Idris a.s. Bagaimanakah jika sakaratul maut itu, datang kepada kita? Siapkah kita untuk menghadapinya ?


-WALLAHU'ALAM-