Hiduplah sesuka Hatimu, Sesungguhnya kamu pasti Mati.. Cintai siapa saja yang kamu senangi, Sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya.. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, Sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya..

04 November, 2008

KEMARAHAN - MALAIKAT DAN SYAITAN

Saya kongsikan kisah yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. untuk renungan kita bersama...

Pada suatu hari, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dimaki oleh seorang pemuda. Peristiwa itu disaksikan oleh Rasulullah S.A.W., yang kebetulan berada tidak jauh dari Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mendiamkan diri walaupun dicerca dan dimaki dengan pelbagai kata kesat, manakala Rasulullah S.A.W. hanya tersenyum melihatkan perbuatan pemuda si pemaki itu. Lama-lama kelamaan Saidina Abu Bakar tidak tertahan lagi lalu membalas cercaan yang dilemparkan kepadanya. Melihatkan kelakuan Saidina Abu Bakar itu, Rasulullah S.A.W. segera berlalu dari situ.

Saidina Abu Bakar yang menyedari perbuatan Rasulullah S.A.W. segera beredar dan berlari mendapatkan baginda. Beliau bertanya kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah! Ketika aku dimaki hamun tadi, kulihat kau hanya diam dan tersenyum. Sebaliknya sebaik sahaja aku membalas makian pemuda itu, kau segera berlalu pergi. Mengapa ya Rasulullah?”

Rasulullah S.A.W. pun menjawab: “Wahai Abu Bakar, ketika kau mendiamkan diri sedangkan kau dimaki hamun dengan teruk oleh pemuda itu tadi, kulihat 2 malaikat turun dari langit, berdiri di sisimu dan membalas cemuhan si pemuda itu. Tetapi sebaik sahaja kau membalas perbuatan pemuda itu, 2 malaikat tersebut terus beredar dari sisimu, dan tempat mereka segera pula digantikan oleh syaitan laknatullah!”

Tidak dinafikan, kemarahan adalah sesuatu yang amat sukar dikawal. Tetapi, sekurang-kurangnya kita boleh mencuba teknik-teknik yg telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w untuk mengawal kemarahan. Antara cara yang boleh dilakukan ialah mengambil wuduk, solat, berzikir, membaca al-Quran dan doa, menarik nafas dengan kiraan 1 hingga 10 serta berjalan di tepian pantai adalah antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menenangkan kemarahan.

Sama-samalah kita jadikan kisah ini sebagai peringatan dan panduan kepada diri kita agar kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan diredhai Allah S.W.T. Insya Allah…